Bagaimana Memulakan Bisnes Penternakan Kambing

Note: This is a translated version of original article: How to Resign Your Job and Start a Goat Breeding Business

2 tahun yang lalu, Azhan, seorang jurutera yang mendapat pendidikan di Jerman telah mengambil keputusan yang berani meninggalkan bidang kerjaya yang berstatus tinggi untuk memulakan penternakan kambing secara kecil-kecilan bersama beberapa ahli keluarganya.

Hari ini, perniagaan tersebut tidak menunjukkan sebarang tanda kemerosotan, malah sedang mengalami perkembangan yang memberangsangkan dan dijangka akan terus menempa kejayaan. Dari jumlah yang kecil sebanyak 30 ekor, bilangan kambing di Sinar Utara Agrofarm (SUA) telah meningkat secara progresif dan telah melangkau angka ke-100. Namun demikian, bilangan terkini itu tidak termasuk dengan ternakan yang telah dijual untuk pelbagai tujuan seperti baka, kambing golek, aqiqah dll serta sebilangan kecil yang telah mati.

Diversifikasi Bisnes.

Walaupun penternakan kambing kekal sebagai teras perniagaan, kepelbagaian atau diversifikasi perniagaan yang berasaskan pertanian telah diterokai secara berterusan. Pembelian Kambing Shami (baka tenusu dari Cyprus) terbukti menjadi “tongkat ajaib” yang membolehkan SUA meneroka aktiviti hiliran dalam penternakan seperti penghasilan susu kambing dan juga sabun susu kambing. Langkah tersebut juga membolehkan SUA menempatkan dirinya sebagai “pemain utama” dalam pembekalan susu kambing. Pada masa kini, permintaan hasil tenusu (susu lembu serta kambing) adalah amat tinggi tetapi penternak tempatan hanya mampu memenuhi sebanyak 5% dari permintaan keseluruhan.

Selain itu, pokok Mulberi juga ditanam secara meluas di ladang di mana daunnya dijadikan sebagai diet pemakanan kambing. Daun Mulberi mempunyai kandungan protein yang tinggi dan kalsium yang boleh merangsang peningkatan penghasilan susu kambing. Disebabkan potensi besar yang terdapat pada daun Mulberi, SUA telah mengorak langkah untuk bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjalankan kajian penghasilan sumber makanan ternakan berasaskan Mulberi (terutamanya kambing).

Sebagai tambahan, SUA juga telah memulakan pembiakan arnab untuk tujuan peliharaan dan daging sebagai salah satu dari portfolio perniagaan mereka sejak awal tahun ini. Pada ketika ini, ladang SUA menempatkan kira-kira 50 ekor arnab dan sedang dalam perancangan untuk menambahkan jumlah ternakannya.

Mewujudkan Kesedaran dan Pemasaran.

Untuk meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai tentang industri penternakan tempatan, teman-teman, rakan sekerja, usahawan dan institusi telah dipelawa melawat ladang untuk melihat dan menikmati sendiri hasil ladang seperti susu kambing segar. SUA juga menyediakan 1 ekar dusun yang dipenuhi dengan pokok buah-buahan tempatan seperti rambutan, dokong dan durian. Kemudahan ini adalah sejajar dengan hasrat SUA untuk menjadikan “agro-tourism” sebagai salah satu cabang untuk perniagaan pada masa hadapan.

Bagi Azhan, “cabaran” merupakan perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan perjalanan ladang sejak dua tahun lepas. Dengan lengkung pembelajaran masih curam, setiap hari, pengalaman dan pengetahuan baru akan diperoleh dari ladang.

Matlamat utama SUA ialah untuk menjadi pembekal utama daging dan susu kambing di kawasan utara tanahair, sekaligus membantu Malaysia dalam mencapai matlamat dasar jaminan makanan negara. Secara teori, tempoh 5 tahun diperlukan oleh sesebuah perniagaan untuk bertapak kukuh dalam bidang penternakan. Dan jika dilihat dari situasi semasa SUA, ianya berada di atas landasan yang tepat untuk mencapainya. Memang terdapat dugaan dan kesulitan pada permulaannya tetapi cabaran serta pengalaman tersebut banyak membantu mendewasakan mereka.

Pemasaran adalah kunci pada mana-mana perniagaaan yang mengimpikan kejayaan. Banyak perniagaan kecil yang lain, pemborong serta usahawan telah ditemui untuk menjalinkan kerjasama strategik. Hasil dari usaha gigih dalam mempromosi produk-produk mereka, sabun dan susu kambing SUA kini boleh didapati di beberapa kedai di kawasan utara semenanjung. Di samping berterusan mencuba dan mengemaskini teknik pemasaran konvensional, perniagaan yang baru bermula ini juga berterima kasih pada kehadiran media sosial yang telah membolehkan mereka mendekati pelanggan dengan lebih mudah. Untuk mendampingi komuniti siber, perkembangan terbaru perniagaan, tips, foto dan berita dari ladang dikemaskini hampir setiap hari melalui laman Facebook.

Selain dari menggunakan media sosial, SUA juga mengiklankan produk dan perkhidmatan di laman Agriplaza. Ianya merupakan pasar tani “maya”, yang membolehkan masyarakat di seluruh negara berjual-beli segala barangan berasaskan pertanian.

Keperluan kewangan.

Sesetengah pihak beranggapan bahawa dengan meminjam daripada institusi kewangan, ia akan memberikan anda “motivasi tambahan” untuk berusaha gigih kerana pada akhir bulan terdapat pinjaman yang perlu dilangsaikan. SUA telah memilih cara yang berbeza. Tanpa meminjam, mereka memulakan perniagaan dengan wang simpanan sendiri. Mereka memilih untuk bekerja tanpa “tekanan luar”, kerana tahu bahawa terdapat pelbagai elemen luar jangka seperti cuaca, wabak dll yang boleh memberikan kesan pada perniagaan.

Namun demikian, sebaik sahaja perniagaan memasuki fasa untuk berkembang, sebilangan agensi telah ditemui untuk tujuan khidmat nasihat. Cabaran lain juga akan menanti pada peringkat ini.

SUA percaya bahawa agensi perlu bersikap lebih pro-aktif dalam membantu pengusaha IKS. Serta perlu terdapatnya dasar yang komprehensif dan berwawasan dalam bidang pertanian. Bantuan terutamanya subsidi kepada para pekebun kecil tidak dapat dielekkan kerana di negara maju seperti Amerika sekalipun, industri pertanian seperti gandum, kapas dll dilindungi dari masyarakat luar.

Bermula dengan sumber kewangan yang terhad.

Jika pengetahuan adalah kuasa, maka jaringan perhubungan (network) merupakan wang. Para usahawan yang hendak berdaya maju digalakkan untuk menyertai sebanyak mungkin pertubuhan kawasan sekitar dan wilayah setempat. Terdapat pelbagai pertubuhan yang berfaedah untuk usahawantani seperti Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), Koperasi Penternak Ruminan Utara (Koputra) dll. Jika anda mengusahakan ladang di kawasan milik agensi seperti RISDA atau FELDA, mendaftarlah dengan mereka dan cuba dapatkan bantuan sebanyak yang boleh kerana biasanya agensi tersebut mempunya peruntukan khas kepada pekebun kecil.

Sebagai pengeluar sabun susu kambing buatan tangan, SUA juga menyertai Pertubuhan Pengusaha Industri Kosmetik Bumiputera (PPKIB). Mereka berpeluang untuk menyertai ekspo pada kos yang rendah untuk mendapatkan pendedahan produk yang tinggi. Kelas atau seminar anjuran Kedah Bioresources Corporation (KBioCorp) juga dapat disertai dengan harga istimewa. KBioCorp mempunyai salah satu makmal yang lengkap dan moden bagi tujuan ujian kosmetik di wilayah utara.

Kesungguhan sentiasa membantu jika kita menceburi bidang yang baru, samada hobi ataupun kerjaya. Tetapi sedikit pengetahuan asas tidak akan menjadi beban. Buku teknikal tentang pertanian dan penternakan tempatan boleh didapati di Kedai Buku MARDI, UPM Serdang. Bagi Azhan, untuk sesiapa yang ingin menjadi usahawantani, buku “Making your little farm profitable – Ron Macher” patut menjadi teman rapat.

Masa yang baik untuk membabitkan diri?

Industri pertanian seperti penternakan (dan kambing khususnya), di mana penternak tempatan hanya mampu memenuhi 10% dari permintaan, sering merupakan industri yang menarik untuk diceburi. Bagaimanapun, para pelabur perlu sedar bahawa pertanian merupakan pelaburan jangka panjang. Ianya akan mengambil masa bertahun-tahun untuk membuahkan hasil, tetapi dengan kesedaran tentang kesihatan yang semakin meningkat di kalangan rakyat Malaysia, industri pertanian tempatan menjanjikan pulangan yang cerah.

Leave a Reply