Banyak jawatan kosong di Johor belum diisi
Walaupun banyak peluang pekerjaan dan jawatan kosong yang ditawarkan di Johor, banyak majikan swasta yang menghadapi kesukaran mengisi ruang kekosongan kakitangan di syarikat mereka.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri, M. Asojan yang memberitahu akhbar The Star, beliau menerima banyak rungutan daripada pihak majikan yang menghadapi masalah mendapatkan calon pekerja yang berminat dengan tawaran kerja daripada syarikat mereka.
Daripada rungutan yang diperolehi, rata rata majikan mendapati iklan kekosongan jawatan yang ditawarkan melalui media tidak mendapat sambutan daripada calon calon yang berpotensi.
Beliau berpandangan, sikap segelintir penganggur dan pencari kerja yang terlalu memilih dalam mencari peluang pekerjaan memburukkan lagi keadaan. Selain daripada itu, banyak graduan yang lebih berminat untuk mendapatkan kerja bersama kerajaan berdasarkan faedah faedah menarik seperti gaji, elaun, pencen, pinjaman kewangan dan sebagainya.
Jika keadaan sedemikian berlarutan, tidak mustahil jika majikan akan beralih tumpuan terhadap pekerja asing, dan seterusnya menutup ruang kepada pekerja tempatan.
Buat masa ini, ada kira kira 17,000 jawatan kosong yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat di seluruh negeri Johor. Sebahagian besar daripada peluang kerjaya tersebut datang dari sektor elektrik dan elektronik. Selain daripada itu, pembanguan wilayah Iskandar Malaysia juga menawarkan banyak peluang pekerjaan.
