Jururawat Kerjaya 24 Jam

Share

MEMIKUL tanggungjawab sebagai jururawat bukan hanya terbatas dalam wad atau ketika menyaluti tubuh dengan pakaian rasminya.

Bagi Jaliah Mat Jani, 44, pengalaman banyak mendewasakannya untuk memberi khidmat kepada masyarakat dengan melunaskan tanggungjawab untuk menjadi jururawat berwawasan.

Sepanjang meraih jawatan itu lebih 20 tahun, wanita yang berasal dari Melaka ini akur jadual kerjanya tidak hanya terbatas pada waktu pejabat. Sebaliknya di saat sedang lena dibuai mimpi, ada panggilan kecemasan yang memerlukan khidmatnya.

Dunia jururawat bagaikan tidak terpisah dengan dirinya kerana kerjaya itu memberi kelebihan sebagai satu tanggungjawab kepada masyarakat umum kerana seluruh hidupnya ditumpahkan pada kerjaya yang amat diminatinya itu.

“Sebagaimana diketahui umum, kerjaya ini adalah 24 jam. Ini bermakna, setiap detik nyawa dan keselamatan orang ramai yang menerima rawatan amat bergantung kepada peranan jururawat. Oleh itu, tanggungjawab atau harapan yang disandarkan amat besar.

“Walau sepenat mana, semua itu memberi pengalaman berharga dan setiap detik yang dilalui sepanjang tempoh berkhidmat adalah sesuatu yang menarik. Soal maki hamun dan kerenah pelanggan yang terlalu banyak itu asam garam sepanjang bekerja,” katanya.

Sepanjang menempuh kerjayanya, sesuatu yang paling indah untuk dikenang adalah ketika ditugaskan di Hospital Raja Faisal di Jeddah yang menjadi pengalaman paling nikmat kepadanya.

Setahun berkhidmat di hospital berkenaan, banyak kenangan manis diraih selain menimba pelbagai pengalaman yang sukar diperoleh di mana-mana tempat. Ini kerana katanya, hospital berkenaan antara yang ternama di dunia selain penyelidikan dan cara bekerja yang hebat serta menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

“Sebagai sebuah hospital canggih di dunia, pasti pengalamannya amat berharga. Selain dapat mempelajari pelbagai aspek berkaitan, ilmu bantu itu amat penting dalam meletakkan saya pada tahap saya kini.

“Lagi pula, saya ditempatkan di Unit Onkologi dan hanya satu-satunya jururawat dari Malaysia yang meraih pengalaman ketika itu. Ia membangkitkan semangat yang kuat kepada saya kerana dapat berkongsi pengalaman dengan pakar hebat di sana,” katanya mengimbau pengalaman manisnya.

Lebih membuatkan wanita ini teruja, kerjayanya itu disifatkan sebagai pelaburan untuk akhirat kerana setiap kebaikan itu bukan untuk dikenang dengan pingat atau anugerah tertentu.

Sebaliknya, peluang membuat kebajikan sesama manusia adalah sesuatu yang memberi kelebihan atau pahala untuk kehidupan yang bakal dijalani di dunia yang satu lagi kelak. Tidak lupa kenangan terindahnya sepanjang di bumi bertuah itu adalah kesempatan untuk mengerjakan umrah.

“Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu saya akan ke tanah suci Makkah kerana itulah peluang yang paling murni apabila berpeluang bekerja di bumi anbia. Ibadat itu mendekatkan diri betapa kecilnya kita sebagai makhluk Allah.

“Untuk itu, terbit rasa insaf di hati dan saya percaya jika berpeluang lagi itulah impian yang diharap ramai orang apabila berpeluang ke sana,” katanya.

Lali dengan kerenah dan pelbagai ragam pelanggan, baginya semua itu menggarap pelbagai rencah yang akhirnya memberi makna tersendiri dalam hidupnya.

Sebelum meraih kedudukan kini, tugasan pertamanya sebaik menamatkan pengajian di bidang kejururawatan adalah ditempatkan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, Kelantan sepanjang terikat dengan kerajaan.

Melakukan penghijrahan dalam kerjaya ke syarikat swasta bukan suatu keputusan mudah untuk dilakukan. Namun sikapnya yang sukakan cabaran, sebaik mendapat tawaran kerja dengan Kumpulan Perubatan Johor pada 2000, ia menjadi penanda aras kepadanya untuk terus memacu kerjaya dengan jaya.

Bertitik tolak dari situ, dia terus mengembangkan kerjaya sehingga kini meraih kedudukan Ketua Pegawai Kejururawatan, KPJ Selangor.

“Komitmen amat penting kepada saya bahkan kepada semua jururawat. Saya sering terapkan kepada pekerja bahawa apa yang terpenting adalah memikul tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas kerana kedua-dua elemen ini bukan sesuatu yang boleh dibuat-buat.

“Dalam setiap ceramah di institusi atau kepada pelajar yang ingin menceburi bidang ini, saya sering tekankan bukan hanya seseorang itu tidak harus takut kepada darah atau jarum tetapi lebih penting, bekerja dengan keikhlasan hati.

“Saya ingin menggalakkan supaya lebih ramai lelaki tampil untuk menjadi jururawat kerana fizikal mereka dan aspek lain yang meletakkan golongan Adam juga mampu melangkah lebih jauh jika menyahut cabaran bergelar jururawat,” katanya yang bangga bakal menyambut kehadiran Hari Jururawat Sedunia pada 12 Mei ini.

Sumber: Harian Metro

Share
This entry was posted in Malay Section on by .

About Zul

Zul is the principal contributor of SKORCAREER. He has featured in other media and publications that include, among others, Reader's Digest, The Star, JobStreet.com, Men's Health, WorkAwesome.com and DailyBlogTips.com. You can reach him at zulkiflimusa[at]gmail.com.

One thought on “Jururawat Kerjaya 24 Jam

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>